Google

Monday, May 19, 2008

Tujuh Kaedah Kenali Orang Sombong, Bongkak

Sombong bererti terasa kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri sendiri, kemudian ditambah dengan sifat suka menghina dan merendahkan orang lain. Orang sombong memandang rendah manusia lain kerana berasakan sesuatu kelebihan yang ada pada diri mereka.

Begitulah sombongnya Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam. Tidak cukup dengan kesombongannya kepada Allah, lalu ia menempelak: "mana bisa aku bersujud kepada manusia, kerana aku dijadikan dari api yang mulia, sedangkan Adam dijadikan dari tanah yang hina.
Penyakit sombong akan menyerang sesiapa saja, baik lelaki atau perempuan, golongan bangsawan atau bawahan, berjawatan tinggi ataupun pengemis di jalanan. Allah berfirman yang bermaksud: "Aku akan belokkan dari keterangan-Ku, orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi, di luar kebenaran." (Surah al-A'raf, ayat 146)

Sombong yang kedua ialah bersifat sombong kepada Rasul dan ajarannya seperti tidak mengiktiraf rasul yang diutus Tuhan kerana kemiskinan dan kehinaa n keturunan, seperti Firaun yang mengaku dan menganggap dirinya tuhan, tidak mengaku Nabi Musa rasul utusan Allah. Begitu juga Abu Lahab serta kaum Quraisy yang enggan menerima Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Oleh itu mari kita memeriksa diri, apakah kita sudah dijangkiti virus sombong ini atau tanpa diketahui kita adalah salah seorang penghidap serius penyakit itu selama berpuluh tahun. Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini.

Pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang sombong seumpama ini, menghendaki dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan masuk neraka, orang yang didalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka. Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan.Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud"Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atau satu amal soleh,bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya dan gugurlah segala amal perbuatannya."Jika kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak bersembahyang atau apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan kepala dan terdetik di dalam hati, "Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa tidak alim dan warak seperti aku ,"maka kita adalah dalam kategori orang yang berpenyakit sombong. Oleh itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak.

Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi tuhan. Mereka rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah kerana keegoan menganggap orang lain tidak semulia mereka. Seandainya kita zalim, bangga dengan status keturunan, maka kesombongan itu sama dengan kesombongan kaum Bani Israel yang dilaknat tuhan.

Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam dan gemuk.

Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberikan Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.

Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi.

Akhirnya yang ketujuh kata Iman Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramai pengikut setia dibelakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.
Justeru, hendaklah memeriksa diri sama ada tujuh perkara yang membawa kepada penyakit sombong ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada ditangan sendiri kerana penyakit sombong hanya akan memakan diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah." (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

PETIKAN AL-QURAN DAN HADIS

"Aku akan belokkan dari keterangan-Ku, orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi, di luar kebenaran" Surah al-A'raf ayat 146

"Sesungguhnya, orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah Aku, akan masuk neraka jahanam dengan kehinaan" Surah al-Mukmin ayat 60

"Tidak akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong" Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud

Dari Abu Sa'id dan Abu Hurairah r.a., keduanya mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Angkuh dan sombong adalah pakaian Allah Ta'ala. maka siapa yang menyaingi pakaianNya, Allah Taala akan menyiksanya."

Friday, May 9, 2008

Kelebihan Bismillahirrahma Nirrahim

Antaranya:

1. Apabila di baca sebanyak 19 kali apabila bertemu dengan orang yang berpangkat besar, yang sombong dan garang, insyaAllah akan menjadi lembut

2. Apabila di baca kalimah ini sebanyak 21 kali tatkala hendak tidur, insyaAllah selamat dari gangguan syaitan dan mati terkejut.

3. Apabila di baca sebanyak 100 kali dan dihembuskan kepada penyakit selama 3 hari berturut-turut, insyaAllah sembuh penyakitnya.

4. Setiap kali bila memasuki rumah bacalah kalimah itu sekali, insyaAllah diberkati dan mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga tersebut.

Rahsia Panjang Umur

Ramai insan sentiasa berdoa agar dipanjangkan umur mereka. Apa yang diharapkan agar panjang umur dalam ketaatan, bukan dalam kemurkaan dan kemaksiatan.

Termasuk dalam ertikata panjang umur juga ialah nama seseorang itu masih disebut walaupun sudah lama meninggal dunia, seperti ulamak-ulamak, dermawan dan mereka yang meninggalkan jasa semasa hayatnya.

Di antara amalan-amalan tertentu yang dilakukan untuk dipanjangkan umur dengan keizinan Allah s.w.t ialah:

1. Berdoa
2. Bersedekah
3. Sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa
4. Berkahwin dengan wanita yang masih dara
5. Tidur miring ke kiri (mengadap ke kiblat)
6. Mandi dengan air mengalir
7. Makan buah kismis di waktu pagi hari

Monday, May 5, 2008

Zikir Untuk Elak Musibah

Tiada sesiapapun yang dapat melepaskan diri daripada segala cabaran hidup. Pastinya, setiap orang ada cara tersendiri untuk menyelesaikan segala kekusutan dan masalahnya. Namun, paling penting ialah sabar dan terus mendekatkan diri kepada Maha Esa.

Satu daripada cara terbaik dan mudah untuk mengelakkan diri daripada berterusan ditimpa bencana dan bala, kita digalakkan supaya rajin beristighfar, bersedekah dan tidak putus asa berdoa. Jadi sebaik-baiknya kita jinakkan diri dengan melipatgandakan amalan seperti berzikir, membaca alquran dan bermunajat kepada Allah. Berzikir boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak semestinya sesudah kita mengerjakan solot. Kita boleh berzikir di dalam kereta, ketika mencuci pinggan mangkuk dan sewaktu menidurkan anak.

Berzikir dengan astaghfirullahal'azim jika kita menerima banyak ujian dan musibah. Sekiranya kita mudah terasa letih, banyakkan berzikir dengan Subhanallah. Usah jemu berzikir dan pastikan anda memberi perhatian kepada zikir yang dilafazkan serta ikhlas kerana Allah.

Insya-Allah, jika kita rajin berzikir, rezeki kita kan dilapangkan, tidak mudah terasa penat, hati menjadi tenang dan doa dimakbulkan. Kita juga digalakkan supaya berzikir dengan nama-nama Allah. contohnya, jika mahu rezeki bertambah, perbanyakkan berzikir dangan Ya Razzak atau Ya Karim pada setiap hari dan jika mahu zuriat, zikirlah dengan nama Allah Ya Wahhab dan Ya Khaliq.

Jika kita dalam kebuntuan dan terlalu dibebani masalah, bacalah Ya Rabb (tiga kali) dan berdoa memohon bantuan serta perlindungan daripada Tuhan. Kita juga perlu sentiasa ingat bahawa setiap dugaan dan ujian itu kadangkala adalah kifarah atau denda di atas setiap perbuatan dan perlakuan buruk kita. Segala ujian itu adalah satu daripada cara untuk membersihkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan.

Mungkin kita rajin beramal kepada Allah tetapi pada masa yang sama suka bercakap perihal keburukan orang lain. Jadi, apabila kita menghadapi ujian, cuba renung kembali apa yang perlu kita lakukan.

Selain berzikir, bersedekah juga mengelakkan diri daripada sentiasa dirundung kesedihan dan bala bencana. Bersedekah tidak semestinya memberi sesuatu yang berharga dan mahal kerana sedekah hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati dan ikhlas. Memperbanyakkan doa juga membebaskan diri daripada musibah. Namun, jangan hanya berdoa ketika dilanda kesusahan dan kekecewaan sedangkan sewaktu senang, kita lupa untuk berdoa. Mungkin ada orang yang akan hanya berdoa apabila dilanda bala. Ingatlah, doa yang terbaik di sisi Allah ialah ketika kita dalam kesenangan kerana apabila dilanda kesusahan, Tuhan akan mengingati kita.